Artikel
Kebebasan berita dan informasi siber: suatu paradoks karya Dr Rhamat Ghazali
merupakan suatu artikel yang membuatkan kita terfikir bahawa benarkah terdapat
kebebasan mutlak bagi seseorang itu menulis apa jua yang dikehendakinya tanpa
mengambil kira dan memikirkan perkara yang akan wujud kesan dari artikel yang
ditulis. Setiap perkara pasti ada baik dan buruknya. Begitu juga dengan berita
dan informasi siber. Semua orang sedar bahawa dalam dunia sekarang ini, apa
sahaja info dan maklumat hanya di hujung jari. Hanya dengan ‘klik’, maka semua
yang diingini pasti terpapar di hadapan skrin. Namun, adakah anda sedar bahawa
apa yang dibaca itu bakal mempengaruhi cara pemikiran anda tidak kira samada
bahan yang dibaca itu adalah satu bentuk fakta atau sekadar cerita rekaan yang
tidak dapat dikenalpasti sumbernya terutamanya maklumat yang didapati dari
blog-blog.
Jika
kita melihat dari sudut pemikiran seorang penulis blog, mereka bebas menulis
apa sahaja yang terlintas di fikiran dan menterjermahkannya ke bentuk tulisan
yang akan dibaca oleh berjuta-juta pelayar internet. Terdapat penulis-penulis
blog yang benar-benar memanfaatkan blog mereka dengan menulis bahan-bahan
bermanfaat dan memberi kesan yang baik terhadap masyarakat. Namun, kebanyakan
penulis blog pada masa kini contohnya di Malaysia sendiri, menggunakan blog
sebagai satu medium untuk menyebarkan dakyah-dakyah politik. Kebiasaannya
mereka menulis menggunakan kata-kata cacian, ugutan, hasutan, sumpah seranah,
sindiran dan kadang-kadang menjangkau ke kata-kata berbentuk lucah. Ini
semata-mata untuk menunjukkan bantahan dan ketidakpuasan hati mereka terhadap
sesuatu perkara.
Kebebasan
siber telah dimaktubkan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998)
yang menyatakan dengan jelas bahawa “tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh
ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet (AKM 1998:3.3)”. Ini
bermaksud bahawa pennguna internet bebas menulis apa sahaja yang dikehendaki tanpa
ada batas dan sempadan. Apakah makna kebebasan dalam konteks ini? Adakah sangat
bebas sehingga sesuatu bahan yang ditulis itu mampu mencetuskan pergaduhan di
anatara pihak tertentu terutamanya di antara kaum yang berbilang bangsa di
Malaysia ini? Adakah bebas sehingga boleh menyebabkan negara ini berada dalam
bahaya dan kacau bilau? Adakah bebas sehingga semua perkara dan rahsia yang
patut disimpan akhirnya tersebar luas untuk tatapan umum? Pastinya jawapannya
tidak!
Seharusnya
terdapat had dan sempadan pada setiap perkara di dunia ini. Dalam isu ini,
kebebasan siber hanyalah suatu rekaan serta hanya angan-angan dan tidak mungkin
seseorang itu boleh menulis sebebas-bebasnya tanpa menyebabkan sesuatu impak
yang tidak baik pada kemudian hari. Para pengguna siber terutamanya
penulis-penulis blog masih lagi terikat dengan Akta Hasutan 1969, Akta Fitnah
1957, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan mereka tidak boleh menulis
sewenang-wenangnya apa-apa kandungan artikel yang tidak dibenarkan di bawah
akta ini.
Secara
tuntasnya kita dapat melihat bahawa tiada istilah bebas dalam menyebarkan
sesuatu berita dan informasi di siber. Maklumat-maklumat yang terdapat di siber
sepatutnya bersifat baik dan bermanfaat serta tidak menjadi faktor yang boleh menyebabkan
kemanan dan kestabilan sesebuah negara itu terancam. Kesimpulannya di sini, Internet
merupakan satu medium yang amat berguna
kepada masyarakat dan tempat untuk berkongsi serta bertukar-tukar pandangan di
antara satu sama lain jika digunakan untuk tujuan kebaikan. Pada masa yang
sama, ia boleh menjadi pemusnah jika digunakan dengan tujuan yang salah.


